Ahad, 20 Jun 2010

AQIQAH DAN HUKUM BERKAITAN ANAK BARU LAHIR

Pengertian Aqiqah dan Hukumnya

Ulamak Hanafi berpendapat aqiqah adalah harus dan tidak sunat, kerana korban yang disyara'kan telah menasakhkan semua bentuk sembelihan yang pernah dilakukan sebelumnya termasuk, aqiqah, rajabujyah dan al-'atirah. Dengan demikian, seseorang itu boleh melakukannya atau tidak melakukannya mengikut kemahuannya. Pemansuhan ini sabit melalui kenyataan 'Aisyah r.a. yang telah menyebut, "Korban yang disyara'kan menasakhkan semua bentuk penyembelihan yang ada sebelumnya."

Aqiqah ialah binatang sembelihan yang disembelih untuk seorang bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh. Pada mulanya perkataan ini digunakan di sudut bahasa untuk makna rambut yang ada di atas kepala bayi yang dilahirkan. Orang Arab kemudiannya menggunakannya sebagai nama bagi binatang sembelihan yang dilakukan sewaktu mencukur rambut bayi berdasarkan adat kebiasaan mereka yang menamakan sesuatu mengikut nama perkara yang menjadi sebab atau yang berdekatan dengannya.

Al-Rajahiyyah pula bermakna; kambing yang disembelih oleh orang Arab pada setiap bulan Rejab dan ini merupakan amalan mereka semasa jahiliyah. la dimasak dan dimakan oleh ahli keluarga serta dijamukan kepada yang lain.

Al-'atirah pula bermaksud anak unta atau anak kambing yang per-tama dilahirkan. la disembelih dan dimakan oleh tuannya serta dijamu makan kepada yang lain. Ada juga yang memberi pengertian sebagai kambing yang disembelih pada bulan Rejab sebagai menunaikan nazar ataupun anak kambing yang disembelih apabila seseekor kambing itu telah melahirkan 10 ekor anak.

Yang sebenarnya al- 'attrah adalah sama dengan al-Rajabujyah, sama ada dinazar ataupun tidak. la adalah satu amalan jahiliyah.

Para fuqahak kecuali Ulamak Hanafi berpendapat; amalan al-'attrah atau al-rajabujyah bukan merupakan amalan sunat. Seseorang bapa disunatkan supaya melakukan aqiqah untuk anaknya dengan menggunakan hartanya. la tidak wajib, kerana Nabi s.a.w. seperti yang diriwayatkan dalam Hadith Ibn Abbas telah melakukan aqiqah untuk cucunya Hasan dan Husin a.s. seekor kibasy bagi setiap orang.Baginda telah bersabda:

Bersama setiap anak itu satu aqiqah. Oleh itu hendaklah kamu alirkan darah baginya dan elakkan daripadanya segala keburukan.

Sabda Baginda lagi:

Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya, ia hendaklah disembelih pada hari ketujuhnya dan pada hari itulah ia diberikan nama dan dicukur kepalanya.

Para Ulamak Syafi'i mengatakan aqiqah ini sunat bagi mereka yang wajib memberikan nafkahnya.

Jenis Binatang Aqiqah, Umur dan Sifatnya

Binatang yang dijadikan aqiqah adalah sama seperti binatang yang mahu dijadikan korban, berupa binatang ternakan an aam iaitu unta, lembu dan kambing. Ada kalangan yang berpendapat lembu dan unta tidak boleh dijadikan aqiqah.

Bilangannya

Bilangan aqiqah mengikut pendapat Ulamak Maliki adalah seekor kambing untuk seorang anak lelaki ataupun perempuan, berdasarkan Hadith Ibn Abbas yang telah dinyatakan, iaitu Rasulullah s.a.w. telah melakukan aqiqah untuk Hasan seekor kambing dan untuk Husin seekor kambing. Ini adalah kadar yang berpatutan serta paling tidak memberatkan.

Ulamak Syafi'i dan Hanbali pula berpendapat: Aqiqah untuk seorang anak lelaki adalah dua ekor kambing sementara bagi anak perempuan pula seekor kambing. Ini berdasarkan Hadith 'Aisyah yang telah menyebut:

Untuk seorang anak lelaki dua ekor kambing yang sempurna dan untuk seorang anak perempuan pula seekor kambing.

Hadith Ibn Abbas yang telah disebutkan tadi dikira bagi menunjukkan keharusan. Satu per tujuh ekor unta atau lembu juga dikira sama dengan seekor kambing. Dengan itu harus jika seekor unta atau lembu disembelih untuk tujuh orang bayi, walaupun terdapat di kalangan mereka yang masuk serta dalam penyembelihan aqiqah itu hanya bertujuan untuk mendapatkan dagingnya sahaja. Bilangan aqiqah adalah mengikut bilangan anak.

Waktunya

Sembelihan aqiqah dilakukan pada hari ketujuh kelahiran seseorang bayi. Hari kelahiran juga dikira dalam tujuh hari berkenaan.

Jika dia dilahirkan pada waktu malam maka dikira bermula daripada siang hari berikutnya. Mengikut pendapat Ulamak Maliki, jika kelahirannya berlaku sewaktu fajar atau sebelumnya, maka hari tersebut dikira.

Jika dia dilahirkan selepas naik fajar, maka hari tersebut tidak diambil kira. Ada juga di kalangan mereka pendapat yang mengatakan: Jika kelahiran berlaku sebelum Zuhur barulah diambil kira tetapi jika selepasnya maka hari tersebut tidak dikira.

Sembelihan aqiqah pula sunat dilakukan pada waktu pagi sehingga gelincir matahari. la tidak sunat dilakukan pada waktu malam.

Ulamak Syafi'i dan Hanbali juga menegaskan, jika sembelihan aqiqah ini dilakukan sebelum hari ketujuh atau selepasnya masih dikira memadai.

Ulamak Hanbali dan Maliki menambah; aqiqah tidak patut dilakukan oleh selain daripada bapa. Begitu juga tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak itu sendiri setelah dia dewasa, kerana ia disyara'kan ke atas bapa, oleh itu ia tidak harus dilakukan oleh mereka yang lain.

Sebahagian Ulamak Hanbali memilih pendapat yang mengatakan, seseorang itu disunat melakukan sendiri aqiqah untuk dirinya dan aqiqah tidak hanya terkhusus untuk anak kecil sahaja, oleh itu bapa boleh melakukan aqiqah untuk seseorang anaknya walaupun selepas dia baligh, kerana tidak ada masa akhir ditentukan untuk melakukannya.

Selepas membaca Bismillah, orang yang menyembelih aqiqah hendaklah menyebut:

Ya Allah, daripada-Mu dan kepada-Mu aqiqah si anu.

Ini berdasarkan Hadith berkaitannya yang terdapat dalam riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang baik. 'Aisyah pula meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin dan Baginda bersabda:

Hendaklah kamu menyebut: Bismillah, Ya Allah untuk-Mu dan kepada-Mu aqiqah si anu.

Amalan melumurkan kepala bayi dengan darah binatang aqiqah adalah makruh agar ia dapat dibezakan daripada amalan jahiliyah yang melumurkan kepala bayi dengan darahnya. 'Aisyah menyatakan,

"Pada masa jahiliyah mereka mencelup kapas ke dalam darah aqiqah kemudian mereka letakkan ke atas kepala bayi, lalu Rasulullah s.a.w. rnengarahkan supaya darah itu ditukarkan dengan za'faran."

Di antara dalil lain yang menunjukkan perbuatan melumurkan darah ini makruh ialah sabda Nabi

Bersama seorang kanak-kanak itu aqiqahnya. Oleh itu hendaklah kamu alirkan darah untuknya dan hindarkanlah daripadanya segala keburukan.

Hukum Daging dan Kulitnya

Seperti juga daging korban, daging aqiqah hendaklah dimakan dan disedekah. Ia sedikit pun tidak boleh dijual.

Daging aqiqah sunat dimasak dan dimakan oleh anggota keluarga dan mereka yang lain di rumah mereka. Mengikut Ulamak Maliki, aqiqah makruh dibuat kenduri dengan menjemput orang ramai.

Mereka juga berpendapat harus dipecah dan dipatahkan tulangnya tetapi tidak sunat. Sementara Ulamak Syafi'i dan Hanbali pula berpendapat memecahkan tulang tidak dihukum makruh kerana tidak terdapat sebarang dalil yang sabit melarangnya, bahkan ia dikira menyalahi cara yang lebih patut.

Yang mustahab ialah dilapah dan diceraikan semua anggotanya tanpa mematahkan tulangnya dengan harapan agar anggota bayi juga akan selamat. Ini berdasarkan Hadith yang diriwayatkan daripada 'Aisyah yang telah menyatakan bahawa mengikut Sunnahnya bagi setiap orang kanak-kanak lelaki dua ekor kambing yang elok dan untuk kanak-kanak perempuan pula seekor kambing yang dimasak tanpa dipecah dan dipatahkan tulangnya serta dimakan, dijamu dan disedekahkan. Ini semua dilakukan pada hari ketujuh.

Al-Imam Ahmad pula dalam satu riwayat daripada beliau mengharuskan kulit dan kepala binatang aqiqah dijual dan disedekahkan.

Adalah mustahab hukumnya daging aqiqah disedekahkan kepada bidan yang menyambut kelahiran bayi, berdasarkan Hadith Mursal Abu Daud bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda terhadap aqiqah yang telah dilakukan oleh Fatimah untuk Hasan dan Husin:

Hendaklah kamu hantarkannya kepada mak bidan melalui seseorang. Makanlah kamu serta jamukan dan jangan kamu patahkan tulang-tulangnya satu pun.

HUKUM-HUKUM BERKAITAN BAYI

Adalah mustahab seorang bapa melakukan azan di telinga kanan bayi dan iqamat di telinga kirinya sewaktu dia dilahirkan131 kerana Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Abu Rafi' telah azan di telinga Hasan sewaktu Fatimah melahirkannya. la juga berdasarkan Hadith Marfuk yang diriwayatkan oleh Ibn al-Sinniy daripada Hasan bin Ali:

Setiap yang pendapat cahaya mata lalu dia azan di telinga anaknya dan iqamat di telinga kirinya pasty ia terhadap daripada bencana jin. (Umm al-Sibyan).

Daripada Ibn Abbas pula menyebut:

Bahawa Nabi s.a.w. telah melakukan azan di telinga Hasan bin Ali pada hari dia dilahirkan juga Baginda iqamat di telinga kirinya.

Oleh kerana kedua-dua Hadith tersebut lemah, maka penulis berpendapat memadai dilakukan azan sahaja seperti yang sabit dalam Hadith Abu Rafi'. Ini adalah agar menjadikan kalimah tauhid mengesakan Allah ungkapan pertama menerjah ke dalam pendengarannya sewaktu dia mula menjengah ke dunia, sebagaimana dia juga diajar sewaktu mahu keluar daripadanya nanti. Ucapan ini juga boleh menjauhkan syaitan kerana seperti yang dinyatakan dalam Hadith mereka akan cabut lari setiap kali mendengar azan.

Sunat juga dibisikkan ke telinga bayi yang baru dilahirkan dengan bacaan berikut:

Aku melindungkannya serta zuriat keturunannya di bawah pemeliharaan-Mu daripada syaitan yang terlaknat.

Bacaan ini dilakukan walaupun bayi tersebut lelaki. la adalah sebagai bacaan al-Qur'an dan mengambil keberkatan daripadanya. Dhamir untuk perempuan dalam ayat adalah dipakai dengan maksud jiwa.

Dalam Musnad Ibn Razin pula menyebut bahawa Nabi s.a.w membacakan Surah al-Ikhlas di telinga bayi yang baru lahir.

Bayi yang baru dilahirkan sunat ditahnik dengan buah tamar. Buah tersebut hendaklah dikunyah kemudian diusapkan ke bahagian dalam mulutnya. Mulutnya dibuka agar buah tamar tadi dapat sampai sedikit ke dalam perutnya. Jika buah tamar tidak ada, maka gunakan sebarang bahan makanan yang manis. Ini berdasarkan Hadith yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim daripada Abu Musa katanya:

"Seorang bayiku telah dilahirkan lalu aku membawanya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda telah menamakannya dengan nama Ibrahim dan Baginda juga telah mentahniknya."

Dalam riwayat Bukhari ditambah dengan ungkapan;

"Dan Baginda mendoakan keberkatan untuknya lalu menghulurkannya semula kepadaku."

Ibrahim adalah anak tertua kepada Abu Musa. Anas pula telah meriwayatkan dengan katanya:

Aku telah membawa Abdullah bin Abu Talhah kepada Rasulullah s.a.w. sewaktu din dilahirkan, lalu Baginda bertanya, adakah engkau mempunyai tamar. Aku menjawab ya, lalu akupun menyerahkan kepada Rasulullah s.a.w. beberapa biji tamar lalu Baginda memamah-nya dan Baginda membuka mulutnya dan disuapkan dengan tamar itu, bayi itu pun menjilat-jilatnya lalu Baginda pun bersabda memang tamar ini menjadi kesukaan Ansar. Baginda pun menamakannya Abdullah.

Sunat mengucapkan tahniah kepada bapa bayi yang mendapat cahaya mata dengan menyebut,

"Semoga Allah memberikan keberkatan dengan kurniaan-Nya kepadamu dan bersyukur kepada Allah, semoga dia sampai dewasa dan engkau akan mendapat kebaikannya."

Si bapa pula hendaklah menjawab ucapan tahniah itu dengan menyebut,

"Semoga Allah juga memberkatimu" ataupun "Allah mengurniakan pahala yang besar kepadamu," atau sebagainya.

Rambut bayi yang baru dilahirkan juga sunat dicukur pada hari ke-tujuh selepas dilahirkan. Pada hari itu juga dia diberikan namanya, selepas menyembelih aqiqah dan bersedekah emas atau perak seberat timbangan rambutnya itu kerana Nabi s.a.w. telah mengarahkan kepada Fatimah dengan sabdanya:

Hendaklah engkau timbang rambut Husin ini dan bersedekahlah dengan perak mengikut timbangannya.

Demikian juga Baginda telah bersabda kepadanya sewaktu dia melahirkan Hasan:

Cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut timbangannya.

Bersedekah dengan emas adalah diqiyaskan kepada perak.

Amalan mengkhatan bayi pada hari kelahiran atau di hari ketujuh adalah makruh, kerana ia merupakan amalan orang Yahudi.

Berkhatan atau bersunat bagi anak lelaki merupakan sunat muakkad mengikut pendapat Ulamak Maliki dan Hanafi, sementara berkhatan anak perempuan pula adalah suatu kemuliaan.

Dalam melakukan khatan bagi anak perempuan sunat jangan melampau, iaitu tidak harus membuang kulit supaya dapat mengekalkan keseronokannya dalam berjima'.

Mengikut Ulamak Syafi'i pula, berkhatan adalah fardu ke atas anak lelaki atau wanita.

Imam Ahmad pula berkata, "Berkhatan wajib ke atas kaum lelaki dan merupakan satu kebaikan bagi wanita. Ini biasanya berlaku di negeri-negeri yang panas.

Mengikut Ulamak Maliki, pelaksanaan khatan ini sebaiknya ditangguhkan sehingga dia boleh disuruh melakukan sembahyang, iaitu di antara umur tujuh tahun sehingga sepuluh tahun.

Para bapa sunat menamakan anak mereka dengan nama yang baik berdasarkan Hadith yang menyebut:

Sesungguhnya kamu akan diseru pada Hari Kiamat dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu hendaklah kamu mengelokkan nama kamu.

Nama yang paling afdal ialah Abdullah, Abdul Rahman berdasarkan Hadith riwayat Muslim, Abu Daud menambah:

Yang paling benar ialah Harith dan Humam dan yang paling buruk ialah Harb dan Murrah.

Begitu juga setiap nama yang disandarkan kepada nama Allah. Begitu juga nama para Nabi dan Malaikat berasaskan Hadith:

Berilah nama seperti namaku tetapi jangan menggunakan nama gelaranku (Kuniyah).

Imam Malik menyatakan, "Aku mendengar orang Madinah mengatakan, setiap rumah yang terdapat di dalamnya nama Muhammad pasti akan di kurniakan rezeki yang baik." Menggunakan gelaran Abu al-Qasim adalah haram.

Nama-nama yang buruk seperti syaitan, zalim, syihab, humar adalah makruh digunakan. Begitu juga nama yang biasanya mempunyai makna yang tidak tercapai, seperti Najih, Barakah. Ini berdasarkan Hadith:

Janganlah sekali-kali kamu menamakan anakmu dengan nama, aflah, najih, yasaran atau rabahan kerana apabila engkau mengatakan, apakah ia begitu, maka Allah akan mengatakan, tidak.

Adalah sunat menukarkan nama-nama yang buruk juga yang mempunyai anggapan buruk, berasaskan Hadith Muslim:

Bahawa Nabi s.a.w telah menukarkan nama 'Asiyah, sabda Baginda engkau adalah bernama Jamilah.

Dalam Hadith sahih Bukhari dan Muslim pula menyebut bahawa Baginda telah menukarkan nama Barrah kepada Zainab, iaitu Zainab binti Jahsy.

Menamakan seseorang daripada satu nama adalah harus, tetapi menggunakan hanya satu nama adalah lebih baik, kerana inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap anak-anaknya.

Menamakan seseorang dengan nama penghulu manusia, atau Ulamak atau hakim atau al-Arab adalah amat makruh kerana itu adalah satu pembohongan.

Menggunakan nama Raja segala yang memiliki Syahan Syah, yang juga sama erti dengan Malikul al-Muluk adalah tidak harus, kerana nama-nama begini hanya layak untuk Allah sahaja. Menggunakan nama Abd al-Nabi mungkin boleh jika ia hanya sekadar nama, bukan dimaksudkan Nabi s.a.w. Bagaimana pun kebanyakan Ulamak lebih cenderong untuk tidak membenarkan penggunaan nama tersebut kerana bimbang ia terlibat dengan menyekutukan dalam i'tikad dan erti pengabdian sebenar kepada Allah.

Menggunakan nama Abdul Kaabah atau Abdul Uzza adalah tidak harus. Begitu juga haram menggelarkan seseorang dengan sesuatu gelaran yang buruk, walaupun perkara itu memang wujud pada dirinya, seperti juling, rabun dan sebagainya. Bagaimanapun jika gelaran itu hanya disebut dengan maksud mengenalkannya untuk orang yang hanya dapat mengenalinya melalui gelaran itu, maka hukumnya adalah harus.

Gelaran-gelaran yang elok seperti gelaran para sahabat adalah harus, seperti Umar al-Faruq, Hamzah Asadullah, Khalid Sayfullah.

Adalah haram menggunakan nama-nama yang hanya layak untuk Allah, seperti Quddus, al-Barr, Khaliq, al-Rahman. Pengertian yang ada pada nama-nama itu tidak layak selain untuk Allah S.W.T.

Petikan Dari Fiqh Dan Perundangan Islam Dr Wahbah Az Zuhaili

assalamualaikum,

ini saya nak tanyalah, mungkin telah ada persoalan ini diutarakan, tetapi saya tidak menjumpainya.

1. sebagai mana daging aqiqah sunat dimasak, sebaliknya pula pada daging korban sunat diagihkan mentah kan. bagaimana jika daging korban dimasak banyak2 kemudian baru diagih2kan. adakah jatuh hukumnya haram, atau korban itu tidak terhasil maksudnya ataupun boleh juga dimasak tetapi makruh atau bagaimana?

hal ini berlaku di sebuah tempat, bila daging korban dimasak, ada sesetengah orang mengatakan sudah tidak dikira korban.mohonlah tuan perjelaskan sedikit.

2. berkenaan sembelihan, salah satu rukunnya memutuskan urat marih dan halqum.
timbul persoalan dibenak fikiran saya ini sekian lamanya, mengapa halqum dan marih itu yang mesti diputuskan. halqum (salur makan) mrih (pernfasan), jika hendak dikatakan memutuskan 2 urat halqum dan marih itu akan menyegerakan mati tidak pula pada manusia, jika salur pernafasan dipotong dan ditebuk diluar dia masih boleh hidup seperti biasa. kalau difikir dari logik akal 2 urat alwadajan itu yng boleh mematikan,kerana ia salur darah, sedangkan ia jadi sunat pula. saya dalam kekeliruan, bagaimana saya bisa mendapatkan jawapannya.

terimakasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan